The Curious Case of Satrio Piningit

Posted by Fikri Hassan Binabad Monday, February 9, 2009

Berita penangkapan Agus Imam Solichin, pemimpin ajaran sesat Satrio Piningit Wateng Buwono menghiasi media-media massa Indonesia pada bulan yang lalu. Ajaran yang antaranya menganjurkan "orgy" bagi para pengikutnya ini, akhirnya terungkap dan siasatan untuk menjatuhkan hukuman kepada ketua ajaran tersebut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Jika ditanyakan siapa pemimpin-pemimpin yang saya kagumi, saya akan menjawab antaranya adalah ketua-ketua ajaran sesat di dunia ini, terutama yang mempunyai paling ramai pengikut. Mereka, menurut saya adalah contoh pemimpin-pemimpin hebat yang dapat dijadikan salah satu di antara "role model" bagi sesiapa pun yang ingin menjadi seorang pemimpin yang berjaya.

Saya bukanlah seorang penuntut di dalam bidang psikologi, namun mungkin untuk mempelajari kejayaan ketua-ketua ajaran sesat tersebut, pandangan dari sudut psikologi lebih sesuai diutamakan.

Abraham Maslow (1970) mengemukakan Teori Hierarki Keperluan Maslow dengan andaian bahawa manusia tidak pernah berasa puas dengan apa yang telah dicapai. Mengikut Maslow kehendak manusia terbahagi lima mengikut keutamaan iaitu keperluan asas fisiologi, keselamatan, penghargaan dan kasih sayang, penghormatan kendiri seterusnya keperluan sempurna kendiri.

Seorang pemimpin yang hebat haruslah dapat memanipulasi keperluan-keperluan manusia ini. Bermula dengan keperluan asas fisiologi seperti bernafas, tidur, makan, minum, serta seks, sehinggalah keperluan-keperluan lain yang lebih tinggi harus berjaya dipenuhi. Kerana itulah sebagai contoh, Agus Imam Solichin berjaya mengembangkan ajarannya dengan memanipulasi keperluan pengikutnya terhadap seks.

Ajaran-ajaran sesat terutamanya di Malaysia dan Indonesia yang dapat dilihat pada hari ini boleh dikatakan hampir semuanya "didasarkan", ataupun "berasal" daripada agama Islam, yang disalah tafsirkan dari aspek Aqidah, Fiqh, maupun Akhlak oleh pemimpin ajaran tersebut. Ini adalah kerana Islam merupakan satu agama yang amat bertepatan dan memenuhi segala keperluan hidup manusia ataupun sesuai dengan fitrah penciptaan manusia itu sendiri. Ini tentunya akan memudahkan golongan-golongan yang tidak bertanggungjawab untuk menghasut orang-orang yang kurang pengertian tentang Islam untuk menyertai ajaran baru yang dibawanya.

Salah tafsir dalam ajaran Islam ini dapat muncul kerana disengajakan ataupun tidak disengajakan sama ada niat pemimpin ajaran tersebut baik, ataupun tidak. Ajaran yang timbul secara tidak sengaja adalah kerana kurangnya ilmu pemimpin tersebut dalam menafsirkan ayat-ayat Al-Quran ataupun Hadith. Manakala ajaran yang timbul kerana disengajakan biasanya kerana niat buruk oleh pemimpin ajaran tersebut. Niat ini timbul mungkin untuk mendapatkan habuan duniawi seperti kekuasaan, wanita, dan juga harta.

Dengan mengenepikan kesesatan pemimpin ajaran-ajaran sesat ini, saya amat mengagumi kehebatan mereka dalam mempengaruhi penganut-penganut ajaran mereka. Jika Tun Dr. Mahathir menjalankan projek pembinaan menara Kuala Lumpur dengan bersusah-payah, Ayah Pin dengan mudahnya membangunkan kawasan "Kerajaan Langit"nya dengan teko, pasu dan beberapa lagi replika besar dengan bantuan "ikhlas" pengikut-pengikutnya.

Pada hakikatnya, manusia mempercayai akan "kuasa" tidak terlihat yang mengatur kehidupan dan alam ini. "Kuasa" tersebut akan menjanjikan kenikmatan dan kejayaan di dunia dan akhirat jika anda patuh kepada segala ajaranNya. Namun hidayah Allah yang menentukan sama ada kepercayaan itu benar ataupun tidak. Jika seorang pemimpin itu dapat memanipulasi kepercayaan ini, dia akan menjadi seorang pemimpin yang benar-benar dipuja dan diagungkan oleh pengikutnya.

Pemimpin ini tidak perlu untuk mengatakan dirinya adalah "kuasa" tersebut. Cukup dengan mengatakan dia adalah utusan ataupun wakil dari "kuasa" itu, ataupun memberikan tanggapan seperti itu kepada pengikutnya. Dengan ini, dia dapat menjanjikan apa sahaja walaupun dia sendiri tidak dapat memenuhinya. Kerana itu banyak pemimpin ajaran sesat mengaku diri mereka adalah Rasul ataupun Nabi sebelum mereka mengaku sebagai tuhan.

Di dalam siri drama televisyen "Lost", Benjamin Linus dan John Locke dapat menjadi pemimpin kepada "Others" kerana hanya mereka yang boleh berbicara dengan Jacob, iaitu suatu "kuasa" yang menguasai pulau tersebut dan tidak dapat dilihat oleh "Others" lainnya. Segala arahan dari pemimpin mereka ini dianggap sebagai arahan dari "kuasa" tersebut. Hakikatnya, manusia tunduk kepada "kuasa" tersebut dan bukan kepada "pemimpin" itu. Oleh itu, manipulasi tentang kepercayaan pengikut-pengikut mereka adalah langkah yang paling penting untuk membuatkan mereka mengikuti kata-kata pemimpin tersebut.

Apabila keyakinan pengikut-pengikut dapat dimanipulasikan, dengan mudahnya pemimpin ini dapat memasukkan hal-hal lain yang terutamanya dapat menguntungkan peribadinya. Sebagai contoh, jika dia mahu berkahwin dengan seorang pengikutnya, pengikutnya akan berpendapat bahawa dia benar-benar beruntung. Jika dia mahu menolaknya, dia akan merasakan imannya masih kurang kerana menolak berdasarkan nafsu dan sifat duniawi (contohnya kerana merasakan pemimpin itu kurang kacak dan sebagainya) sedangkan menurutnya, pemimpin itulah yang paling beriman di antara mereka kerana segala sifat suami yang mithali menurut pemimpinnya ada pada diri pemimpin tersebut.

Selain itu, pemimpin yang hebat ini dapat menanamkan di dalam hati pengikut mereka bahawa hanya merekalah yang benar manakala orang yang tidak menuruti mereka adalah orang-orang yang salah. Mereka akan terus menerus mengecam masyarakat umum kerana tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh pemimpin ini. Akibatnya sokongan terhadap pemimpin ini akan semakin kuat semata-mata kerana dianggap sebagai pemimpin yang paling beriman di antara mereka dan mereka yang tidak mengikuti ajaran mereka adalah orang yang sesat yang tidak mendapat cahaya keimanan.

Pada zaman yang penuh fitnah ini, banyak pemimpin ajaran sesat yang semakin pintar menggunakan ayat-ayat dalam Al-Quran dan Hadith demi kepentingan peribadi mereka. Sebagai contoh, seorang ketua ajaran sesat di Indonesia mengatakan, di dalam Al-Quran surah An-Naba' ayat 1-3, berita besar yang dimaksudkan adalah kedatangannya sebagai Rasul baru di dunia ini. Menurutnya lagi, umat Islam tidak "ribut" apabila agama lain menjalankan ibadah mereka, tetapi apabila dia membawa ajarannya, semua orang menjadi gempar. Ini kerana ajarannya benar. Orang tidak akan peduli jika apa yang dibawanya tidak benar.

Antara kehebatan lain pemimpin-pemimpin ajaran sesat ini adalah kepandaian mereka dalam berkata-kata. Segala yang keluar dari mulut mereka membawa agenda yang tersembunyi, namun terdengar seperti janji-janji manis dari Tuhan mereka di telinga penganut-penganut mereka yang tentunya akan menambahkan keyakinan terhadap diri mereka. Sebagai contoh, mereka yang tidak mengikut ajaran mereka akan dipertanggungjawabkan dan diberikan azab yang pedih di hari akhirat nanti.

Sesungguhnya, banyak hal tentang kepimpinan yang dapat dipelajari dari pemimpin ajaran-ajaran sesat ini. Namun seorang pemimpin Islam, tidak boleh memanipulasikan keIslaman (kepercayaan kepada "kuasa" yang mengatur alam yang digunakan oleh fahaman ajaran sesat) untuk kepentingan peribadinya. Jangan menganggap dirinya sebagai utusan Allah dan memomok-momokkan pengikutnya dengan azab Allah jika mereka tidak mahu mengikut kata-katanya. Seorang pemimpin yang beriman sudah pasti akan dipilih oleh masyarakat tanpa perlu keyakinan mereka dimain-mainkan.

Pemimpin yang berpegang kuat dengan ajaran Islam pasti akan dipilih kerana Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia, yang dapat memenuhi segala keperluan manusia dari tingkat yang terendah sehingga tingkat keperluan yang paling tinggi. Jangan gunakan Islam sebagai tangga untuk menaikkan diri sendiri ke atas, namun naiklah ke atas dengan membawa Islam di dalam hati.

0 comments

Post a Comment


Jom Jiwang.ORG

Comments

Recent

BREAKDANCE . . .

Posted by Fikri Binabad
09-01-09

Jin Mata Buta

Posted by Fikri Binabad
05-17-09

JT THE GENTLEMAN

Copied by Fikri Binabad
05-07-09

OBESarITI

Posted by Fikri Binabad
05-07-09

Dulu & Sekarang

Posted by Hassan Seylan 'Abad
11-03-08